"BERDIRILAH DENGAN TEGUH DALAM IMAN" 1Kor 16 : 13

Penampang, 8-10 Februari 2013 Setelah melalui ketiga-tiga fasa bagi proses pemilihan Komiti Belia Pelaksana (KBP) Zon pada November 2012 lalu, Tim Pelayanan Belia Paroki (TPBP) bersama dengan 15 KBP Zon telah berekoleksi bagi mendalamkan lagi pelayanan KBP terutama sekali dalam membina keintiman kekeluargaan khususnya di dalam KBP. Selain daripada itu tujuan Rekoleksi ini juga adalah sejajar dengan Tahun Iman yang dirayakan pada tahun ini iaitu untuk mendalami pengetahuan tentang Iman Katolik terutama sekali sebagai Belia Katolik dan pemimpin gereja.

Rekoleksi yang dijalankan selama 3 hari 2 malam di Pace Bene Purak Papar ini benar-benar telah membuka minda, pengetahuan dan keterbukaan terutama sekali dalam meneruskan pelayanan sebagai seorang belia dan juga sebagai pemimpin belia Katolik.
Bersesuaian dengan tema rekoleksi TPBP & KBP kali ke-5 pada tahun ini iaitu ‘Berdirilah dengan teguh dalam Iman’ (1 Kor 16 : 13), belia lebih diperbaharui lagi melalui sesi-sesi yang disampaikan dan juga daripada homily yang disampaikan oleh Fr Daniel Dick Jomilong semasa Misa Pembukaan Rekoleksi TPBP & KBP di mana beliau mengatakan rekoleksi ini merupakan permulaan perjalanan pelayanan, namun adakah para belia kini sudah teguh dalam IMAN dan benar-benar mengenali YESUS? Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama di dalam KBP harus ada bagi mencapai visi dan misi belia dan beliau menyeruh sebagai pemimpin jangan takut kepada cabaran dalam pelayanan kerana cabaran inilah yang akan mematangkan dan menguatkan kita semua.
“Belia adalah tunjang masa depan gereja, oleh itu belia harus sentiasa kuat berdoa, beriman pada injil dan komited dalam pelayanan Maka berdoalah dengan penuh penyerahan iman agar dapat melihat lebih jelas apa kehendak Tuhan bagi kita dengan kesetiaan, keberanian, kesyukuran & kekaguman” begitulah apa yang disampaikan oleh Fr. Isidore Gilbert semasa menyampaikan sesi mengenai Doa-Iman-Komitmen.
Secara keseluruhannya, pemimpin belia KBP kini merasa sangat bangga kerana menjadi belia Katolik dan apa yang diperolehi sepanjang rekoleksi ini akan dikongsikan bersama kepada para belia di Zon mereka masing-masing dan inilah misi yang perlu dilakukan belia sempena dengan Tahun Iman pada tahun ini.

Para Peserta Rekoleksi TPBP & KBP Ke-5 pada 8-10 Februari 2013 lalu